Klinik Komuniti Puchong Permai hanya ditutup sementara

Iklan
Klinik Komuniti Puchong Permai di Blok F1-F10 Taman Puchong Permai yang ditutup kepada orang ramai sejak 17 Ogos lalu dibuka semula seperti biasa hari ini.

PUCHONG - Klinik Komuniti (sebelum ini dikenali sebagai Klinik 1 Malaysia) Puchong Permai yang ditutup sejak 17 Ogos lalu dibuka semula seperti biasa hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, klinik berkenaan hanya ditutup sementara.

Iklan
Iklan

"Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) ingin merujuk kepada kenyataan tular yang telah disebarkan melalui media sosial berkenaan Klinik Komuniti Puchong Permai, Daerah Petaling. Siasatan mendapati klinik tersebut telah ditutup sementara bermula pada 17 Ogos 2020.

"Bagaimanapun, Klinik Komuniti Puchong Permai, Daerah Petaling telah beroperasi seperti biasa pada 25 Ogos 2020 (hari ini),” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Beliau berkata, JKNS memohon maaf atas segala kesulitan akibat penutupan sementara tersebut.

Terdahulu, penduduk Blok F1-F10 Taman Puchong Permai di sini memaklumkan klinik tersebut disedari ditutup kepada orang ramai sejak 17 Ogos lalu.

Iklan

Pengerusi Persatuan Penduduk Blok F1-F10 Taman Puchong Permai, Talhat Kasali berkata, pihaknya tidak pasti sama ada klinik berkenaan ditutup sementara atau dihentikan operasi sepenuhnya.

"Penutupan klinik ini menyukarkan pesakit yang ingin mencuci luka terutama mereka yang tidak mempunyai pengangkutan untuk ke Klinik Kesihatan Batu 14 terletak kira-kira empat kilometer dari sini.

"Klinik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk pangsapuri di sini tetapi kepada penduduk di kawasan sekitar Puchong Permata, Puchong Prima, Puchong Perdana, Puchong Indah dan Puchong Intan,” katanya.

Talhat dalam pada itu meminta pihak klinik mengembalikan perkhidmatan untuk rawatan demam dan pesakit luar seperti awal-awal ia beroperasi dahulu.

Ia berikutan katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, pesakit luar diminta ke Klinik Kesihatan Batu 14 Puchong untuk mendapatkan rawatan.

"Ketika ini, klinik ini mengehadkan rawatan untuk pesakit yang ingin mencuci luka sahaja. Harap boleh tawarkan kembali perkhidmatan seperti mana ia mula-mula dibuka dahulu,” katanya.