Selangor terbuka banteras rasuah, salah guna kuasa

Iklan
Amirudin (dua dari kiri) membuat lawatan sempena Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor di Kolej Antarabangsa Inpens hari ini.

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor sentiasa bersifat terbuka dalam usaha membanteras kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan agensi penguatkuasaan di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak yang dituduh terlibat dalam jenayah itu sewajarnya disiasat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau yakin hanya segelintir penjawat awam negeri ini terbabit dengan amalan yang merosakkan sistem pentadbiran itu.

"Kita tidak boleh terus menghukum mereka yang belum didapati bersalah, namun kebimbangan tentang kewujudan (amalan rasuah) ini tetap ada.

Iklan

"Biar (SPRM) siasat dan kalau yang bersalah kita ambil tindakan kerana tidak mempunyai niat untuk melindungi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor di Kolej Antarabangsa Inpens di sini hari ini.

Iklan

Amirudin berkata, Selangor antara negeri yang mengundang Pesuruhjaya SPRM datang bagi lafaz ikrar bebas rasuah.

"Misalnya, pagi ini MBI (Perbadanan Menteri Besar) juga membuat ikrar bebas rasuah," katanya.

Ditanya adakah individu yang didakwa atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan rasuah wajar ditukarkan, Amirudin berkata, tiada pertukaran dilakukan kerana tidak mahu menghukum selagi individu terlibat belum didapati bersalah.

"Pertukaran bukanlah jawapan sebab ini melibatkan jenayah dan ia perlu disiasat pihak berkuasa," katanya.

Semalam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan agensi penguatkuasaan khususnya di Selangor.

Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan segelintir yang terbabit dalam jenayah tidak bermoral itu mencemarkan reputasi dan imej kerajaan dan pihak berkuasa terbabit.