PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa gagal mematuhi kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berikutan siasatan sedang dilakukan.
"Biar polis lakukan tugas mereka," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Dr Noor Hisham juga enggan mengulas mengenai kompaun RM1,000 yang dikeluarkan KKM yang didakwa undur tarikh (back dated).
Pada 7 Ogos lalu, Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati gagal mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Berdasarkan akta itu, semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.
Sementara itu, Bukit Aman telah membuka siasatan terhadap Khairuddin selepas menerima 27 laporan polis berhubung perkara itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin