TANJUNG MALIM - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz tidak dibenarkan masuk ke Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini kerana memakai baju berlogo parti.
Mohd Zaidi hadir pada jam 9.40 pagi di IPD Muallim itu untuk meninjau proses pengundian awal namun dihalang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memintanya menukar pakaian tersebut sebelum dibenarkan masuk.
Iklan
Iklan
Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan terlupa untuk menukar baju korporat yang dipakainya selepas menghadiri beberapa program kempen sebelum ke IPD tersebut.
"Saya memang ada beberapa program dengan pengundi tadi dan terlupa menukar baju sebelum ke sini. Saya menyedarinya selepas ditegur petugas SPR," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan IPD Muallim hari ini.
Mohd Zaidi memberitahu, tiada niat melanggar peraturan kerana sudah menyediakan baju lain di dalam kereta.
Terdahulu, seramai 257 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini.
Proses pengundian awal itu turut dihadiri calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.