APAKAH itu pemimpin? Pemimpin adalah ketua. Dia menjadi ketua pula kerana dipilih oleh para pengikut yang menyakininya. Oleh kerana dia pemimpin, dia akan berada di hadapan dan di atas. Dari depan atau dari atas, dia akan nampak lebih jauh daripada para pengikutnya. Dia akan nampak peluang mahupun masalah lebih dahulu daripada mereka yang dipimpinnya.
Pengikut pula lazimnya berada di belakang. Umpama dalam sebuah perjalanan yang jauh, para pengikut akan menuruti jejak pemimpin. Oleh kerana berada di belakang atau di bawah, dia tidak nampak apa yang pemimpin lihat. Tetapi oleh kerana mereka menyakini pemimpin, para pengikut akan patuh terhadap arahan daripada pemimpin mereka.
Secara tamsilannya, pemimpin sememangnya memimpin para pengikutnya. Adat orang memimpin, dia mesti berada hampir dengan mereka yang dipimpinnya. Dia perlu sentiasa memberi semangat kepada mereka agar sama-sama menuruti langkahnya supaya sama-sama sampai ke matlamat.
Kerana itu dia juga tidak boleh berada terlalu ke hadapan atau terlalu tinggi hingga tidak dapat dilihat oleh para pengikutnya. Sekiranya terdapat pengikut yang tertinggal, pemimpin harus berpatah balik untuk menarik mereka yang ketinggalan jauh untuk berada dalam kumpulan. Pemimpin juga harus mengembalikan pengikut yang tersesat ke dalam kumpulan yang dipimpinnya.
Dalam pelbagai situasi, pemimpin perlu autokratik dalam keadaan krisis dan bahaya. Dia perlu mainkan peranan untuk mendesak dan memerintah dalam keadaan kritikal agar pengikut patuh dan semuanya selamat daripada bahaya. Dalam keadaan pengikut yang lemah, pemimpin perlu naikkan semangat pengikut agar beristiqamah bergerak ke matlamat.
Dalam keadaan senang dan berjaya dalam perjuangan pula, masing-masing boleh meraikan kemenangan. Namun setelah itu mereka perlu menghulurkan tangan pula kepada kumpulan-kumpulan lain yang masih terkial-kial merangkak mencari kejayaan. Inilah kemanusiaan.
Pemimpin perlukan pengikut dan begitulah sebaliknya. Pemimpin dipilih untuk bertindak penuh hikmah dalam apa jua keadaan pun. Pengikut pula wajib menuruti arahan pemimpin sama ada dia setuju ataupun tidak asalkan arahan pemimpin itu bukannya berupa kemungkaran.
Peranan
Saling hormat menghormati peranan masing-masing itu adalah ikatan yang merangkumi etika dan adab berorganisasi. Dalam konteks peraturan dan hukum, ia sama rata. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatasi atau memanipulasi undang-undang yang berkuat kuasa ke atas sesiapa sahaja.
Kerana itu, andainya seseorang pemimpin itu bersalah, dia sepatutnya lebih awal mengaku, sebab dia lebih tahu. Dia juga harus sedia menerima implikasi di atas kesalahannya. Tidak boleh pula dia menguar-uarkan jasa-jasanya yang lain selama ini untuk mengecilkan kesalahan yang telah dilakukan. Yang ingin diadili ialah kesalahan bukannya menghargai segala kebaikannya.
Tindakan sebegitu seolah-olah mengajak para pengikut untuk melanggar peraturan dengan pelbagai helah untuk melepas diri. Kesalahan yang kecil pun adalah kesalahan. Kesalahan yang kecil pula adalah besar di mata pengikut kerana ia dilihat dari kaca mata pengikut bahawa seseorang pemimpin itu seharusnya maksum. Meskipun ia tidak adil tetapi itulah pandangan bersalut harapan para pengikut.
Benarlah, pemimpin harus berani ke ke hadapan, berani harungi cabaran, berani daripada pengikut dan juga berani mengaku salah dan menerima hukuman tanpa berdalih lagi. Pemimpin yang berani sebegitu akan melahirkan pengikut yang berani berpegang kepada hukum. Sesungguhnya hukum itu adalah pagar agar manusia tidak terjerlus ke jurang kecelakaan.