Tiada mandat untuk normalkan hubungan dengan Israel

Iklan
Pompeo (kiri) disambut Hamdok ketika beliau tiba di Khartoum setelah selesai lawatan di Tel Aviv hari ini. - Foto AFP

KHARTOUM - Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok memaklumkan kerajaan sementara pimpinannya tidak mempunyai mandat untuk menormalkan hubungan dengan Israel dan langkah seumpama itu hanya akan berlaku selepas tempoh peralihan.

Penjelasan itu dibuat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo yang mengadakan lawatan ke negara itu hari ini untuk 'memujuk' Khartoum mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

Iklan
Iklan

"Kerajaan peralihan ini yang penggal pemerintahannya berakhir pada 2022 tidak boleh membuat sebarang keputusan tentang perkara tersebut," ujarnya ketika pertemuan yang turut dihadiri Ketua Majlis Kedaulatan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.

Ia sekali gus menolak usaha Jabatan Negara AS yang menyatakan sokongan untuk mengeratkan hubungan Sudan-Israel.

Iklan

Ketika ini, Pompeo sedang melakukan lawatan ke Asia Barat untuk menjayakan rancangan Washington bagi menggesa lebih banyak negara Arab menormalkan hubungan dengan Israel yang merupakan sekutu kuat AS.

Difahamkan, beliau merupakan diplomat kanan pertama AS yang berkunjung ke negara itu sejak bekas Setiausaha Negara, Condoleezza Rice melakukan lawatan pada 2005.

Iklan

Secara teknikal, Israel masih berperang dengan Khartoum dan tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan negara Afrika Timur tersebut.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertemu dengan Burhan di Uganda dan mengumumkan kononnya mereka telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama bagi menormalkan hubungan Khartoum dan Tel Aviv.

Kabinet Sudan bagaimanapun menafikan Burhan ada membuat janji seperti itu memandangkan perkara tersebut merupakan langkah kontroversi dalam dunia Arab.

Baru-baru ini, jurucakap Kementerian Luar Sudan, Haider Badawi dipecat gara-gara mengeluarkan kenyataan kononnya Khartoum bersetuju dengan perjanjian damai dengan Israel.

Menteri Luar, Omar Qamareddin kemudiannya mengesahkan isu tersebut tidak pernah dibincangkan oleh kerajaan. - AFP