NEW DELHI - Gara-gara tidak pernah bertengkar dengan suaminya, seorang wanita di India nekad menuntut cerai selepas 18 bulan mendirikan rumah tangga.
Gulf News melaporkan wanita yang identitinya tidak didedahkan itu berasa rimas kerana suaminya terlalu menyayanginya.
"Dia sering memaafkan saya setiap kali saya melakukan kesalahan. Dia tidak pernah menjerit atau buat saya rasa kecewa atau sedih dengan sebarang isu.
"Kadangkala dia memasak untuk saya dan membantu saya membuat kerja rumah. Saya tidak perlukan hidup yang suami sentiasa bersetuju dengan segala perkara. Saya mahu bergaduh dengannya," rungut wanita itu.
Mahkamah Syariah bagaimanapun menolak tuntutan cerai tersebut dan menggelar ia sebagai keputusan yang semberono.
Ketika pihak mahkamah mengajukan soalan sama ada dia mempunyai sebab lain untuk berpisah dengan suaminya, wanita itu gagal mencari alasan baharu.
Susulan itu, mahkamah meminta pasangan terbabit menyelesaikan masalah mereka secara bersama.
Selepas kes itu ditolak oleh mahkamah, wanita tersebut dilaporkan mengemukakan tuntutannya kepada badan pemerintah tempatan yang juga enggan mengendalikan kes tersebut.
Sementara itu, media tempatan melaporkan suaminya sangat menyayangi wanita itu dan mahu memastikan isterinya sentiasa gembira. - Agensi