AWANG sebetulnya tak terperanjat sangat dengan hasil kajian terbaru tentang kemiskinan bandar semasa wabak Covid-19.
Kajian itu menunjukkan pendapatan penghuni di 16 kawasan perumahan awam (PPR) di Kuala Lumpur terjejas teruk.
Kelompok itu menerima kesan paling buruk apabila kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Golongan B40 itu tak ada pilihan melainkan hidup dengan apa yang ada sahaja. Makan pun sekadar ada di atas meja, mi segera, nasi goreng atau berlaukkan telur.
Oleh sebab banyak juga yang bekerja sendiri atau bekerja dengan syarikat kecil, mereka hilang pendapatan tetap atau gaji mereka dipotong semasa PKP.
Memanglah kerajaan ada beri bantuan, tetapi mungkin juga tidak mencukupi. Orang berpendapatan rendah macam 'Mak Cik Kiah' yang dsebutkan oleh Tan Sri Perdana Menteri dulu memang dibantu. Tapi banyak lagi yang hidup lebih susah daripada Mak Cik Kiah.
Bagus sangatlah laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) itu diambil serius.
Jangan pula ada yang nak habis masa mempertikaikannya. Sepatutnya mereka yang terjejas itu dibantu segera. Carilah kaedah terbaik untuk ringankan beban mereka.