YAN - Pentadbiran kerajaan dilihat gagal untuk merangka agenda bagi membangunkan negeri Kedah.
Pengarah Jabatan Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Samat berkata, kegagalan tersebut juga dapat dilihat dari aspek pendidikan, agama dan pembinaan modal insan.
Katanya, kerajaan juga dilihat gagal untuk mengadakan program berterusan yang mampu memberikan kesedaran kepada remaja.
"Kita boleh lihat ketika ini kes penyalahgunaan dadah dan masalah sosial dalam kalangan remaja sangat meruncing," katanya.
Menurut Mohd Azam, sepanjang 10 bulan pemerintahan, kerajaan baharu seolah-olah tidak berminat akan program yang menjurus ke arah pembentukan sahsiah mulia di kalangan remaja khasnya program berteraskan agama.
"Sebagai contoh Kem Bina Insan, Kem Bina Sahsiah dan Kem anak Soleh yang pernah diperkenalkan oleh mantan Menteri Besar Datuk Seri Azizan hilang daripada agenda negeri sehingga hari ini.
"Sepatutnya, agenda seperti ini diteruskan kerana ia mendatangkan impak dan faedah yang besar kepada negara," katanya.
Mohd Azam berkata, seharusnya perkara baik yang telah dilakukan oleh pemerintahan sebelumnya perlu diteruskan.
"Pemimpin perlu rasional dan bijak dalam menilai kepentingan sesuatu perkara buat rakyat.
"Jelas kelihatan kepincangan anak muda ketika ini dengan wujudnya pelbagai dakyah di media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan sebagainya.
"Ini adalah medium perosak yang seharusnya menjadi isu utama yang perlu diketengahkan bagi memastikan anak muda yang kita miliki pada hari ini mampu untuk menjadi pemangkin kepimpinan pada masa akan datang," katanya.