SEREMBAN - Seorang saksi prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin memberitahu Mahkamah Koroner di sini remaja itu boleh berjalan seperti manusia normal semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Saksi ketiga, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar dalam prosiding di hadapan Koroner Maimoonah Aid, yang memasuki hari ketiga hari ini berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 3 Ogos tahun lepas, tarikh remaja dan keluarganya tiba di Malaysia, menunjukkan Nora Anne berjalan dari balai ketibaan menuju ke tempat menunggu.
Berikut adalah transkrip soal jawab di Mahkamah Koroner:
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad: Pada hari kelapan, tidak terfikirkah nak luaskan skala pencarian?
Mohd Nor Marzukee: Hari kelapan, pada sebelah petang kami berkumpul semula selepas mendapat maklumat video diambil di KLIA oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah bahawa mangsa orang hilang dilihat dapat berjalan seperti mana manusia normal pada umur tersebut.
Koroner Maimoonah: Video dirakam di KLIA waktu keluarga sampai?
Mohd Nor Marzukee: Ya, video di KLIA, dia berkumpul menunggu seseorang sampai, lepas itu dia tarik beg keluar dari KLIA dan dapat dilihat dengan jelas dia boleh berjalan seperti mana manusia normal pada umur 15 tahun.
Koroner Maimoonah: Setakat hari kelapan, kerja-kerja pencarian berdasarkan maklumat diberi keluarga?
Mohd Nor Marzukee: Betul.
Mohd Nor Marzukee yang menjadi Komandan Operasi dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkata ketika video berkenaan ditayangkan, turut sama menyaksikannya ialah Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu Datuk Mazlan Mansor serta rombongan, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed di bilik taklimat di Balai Polis Pantai pada jam 1.30 tengah hari, 11 Ogos. - Bernama
AKAN MENYUSUL