SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyelar kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa cuba mengelak daripada isu realiti yang berlaku setelah aktivitinya meluluskan 101 projek secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibongkar di Parlimen beberapa hari lalu.
Annuar menerusi Twitter berkata, setelah 'kantoi', Guan Eng dilihat cuba untuk lari dari isu sebenar.
"Isu 101 projek 'direct nego' kerajaan PH bukan berkenaan soal betul atau salah cara perolehan tersebut atau isu zaman BN (Barisan Nasional) atau zaman PH lebih banyak.
"Tetapi isu janji DAP, PH berdentam-dentum kononnya zaman mereka semua telus dan tender terbuka dan tiba-tiba kantoi," ciapnya di Twitter hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng desak SPRM siasat projek rundingan terus BN, PN
Terdahulu, Guan Eng mendakwa, nilai projek yang diberikan secara rundingan terus ketika era pentadbiran BN jauh lebih tinggi berbanding semasa pentadbiran PH, di mana 12 projek rundingan terus pada zaman BN antara 2013 hingga 2018 saja sudah mencecah RM139.3 bilion berbanding RM6.61 bilion nilai bagi 101 projek bagi 22 bulan zaman pentadbiran PH.
Secara purata katanya, 12 projek era BN itu bernilai RM11.6 bilion setiap satu dan jumlah tender secara langsung BN itu juga hanya 1.4 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan di bawah PH.
"Nilai projek rundingan terus PN yang diluluskan oleh (Menteri Kewangan) Tengku Datuk Seri Zafrul (Tengku Abdul Aziz) belum tahu lagi. Atau beliau takut akan terbongkar nanti Perdana Menteri (Tan Sri Muhyidin Yassin) sendiri, semasa menjadi menteri PH dan menteri-menteri ‘pengkhianat’ yang lain pun ada memohon projek rundingan terus daripada saya sebagai menteri kewangan?” katanya.
"Adakah Perdana Menteri PN juga bersalah jika beliau memohon projek rundingan terus pada masa itu?Sampai hati mereka ini ‘mengutuk’ diri sendiri," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng mengaku luluskan 101 projek rundingan terus