Permohonan 33 ADUN Sabah didengar 7 September

Iklan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 7 September ini untuk mendengar permohonan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bagi menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), lima hari sebelum tarikh yang ditetapkan sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Mahkamah turut menetapkan hari yang sama untuk mendengar rayuan 33 ADUN itu yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 21 Ogos lepas, yang menolak permohonan mereka untuk penangguhan bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri pada 30 Julai lepas membubarkan DUN.

Iklan
Iklan

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mempengerusikan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk P Ravinthran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin, menetapkan tarikh itu selepas peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negeri Sabah (AGC Negeri) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) hanya menerima notis bagi usul penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi itu semalam, dan mereka memerlukan masa bagi menyediakan jawapan.

Tengku Fuad berkata, permohonan difailkan pada 24 Ogos, dan AGC Negeri serta AGC telah bersetuju supaya permohonan itu didengar pada 7 September.

Iklan

"Bagaimanapun saya telah diarahkan oleh pemohon (33 ADUN), untuk melihat sekiranya permohonan boleh didengar lebih awal, iaitu pada 4 September.

"Sebabnya ialah hari penamaan calon (PRN Sabah) dijadulkan pada 12 September, dan sekiranya kami berjaya dalam rayuan, kita masih perlu mendengar semakan kehakiman ini di Mahkamah Tinggi. Jadi, memandangkan kesuntukan masa dan juga perkara ini amat mendesak, kami mohon 4 September juga ditetapkan sebagai tarikh untuk mendengar rayuan,” katanya.

Iklan

Peguam Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh yang mewakili Yang Dipertua Negeri Sabah,Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Peguam Persekutuan Kanan, Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan masa untuk menjawab afidavit berhubung permohonan itu, dan memohon 7 September sebagai tarikh pendengaran.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 September sebagai tarikh bagi mendengar rayuan dan permohonan penggantungan itu oleh 33 ADUN berkenan.

"Kita tetapkan 7 September sebagai tarikh untuk mendengar permohonan bagi penggantungan, dan juga hari yang sama untuk mendengar rayuan bagi membenarkan pihak yang terlibat mengemas kini afidavit,” kata Hakim Yaacob.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembubaran DUN Sabah: 33 ADUN kemuka rayuan

Mahkamah putuskan PRN Sabah diteruskan

Jumaat lepas Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan 33 ADUN untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai.

Leonard menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - telah bertindak mengikut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama - Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin - membubarkan DUN.

Menurutnya pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut perlembagaan dan sah.

Dalam permohonan untuk semakan kehakiman, Musa dan ADUN yang menyokongnya memohon perintah mahkamah bagi mengenepikan permintaan Mohd Shafie kepada Tun Juhar untuk membubarkan DUN, mengenepikan pengisytiharan pembubaran DUN, dan mengenepikan notifikasi warta kerajaan negeri Sabah berhubung pembubaran itu.

Semua 33 ADUN itu mendakwa pada 29 Jun lepas mereka telah membentuk majoriti dalam DUN, dan mahukan supaya Tun Juhar memperakui majlis angkat sumpah kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie.

Mohd Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna, sebaliknya bertindak lebih awal dari Musa, dengan menasihatkan Tun Juhar untuk membubarkan DUN Sabah yang ketika itu mempunyai 65 anggota, termasuk lima yang dilantik.

Pada bulan Julai tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang yang membolehkan DUN Sabah memiliki 73 kerusi, yakni 13 kerusi lebih banyak daripada DUN yang baru dibubarkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 September sebagai hari penamaan calon dan 26 September sebagai hari mengundi.- Bernama