Tolenrasi kunci keamanan, kedaulatan negara: KPN

Iklan
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menginjak 63 tahun kemerdekaan, rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain kerana ia merupakan kunci utama dalam memastikan keamanan serta kedaulatan negara terus berkekalan.

Malah, peristiwa darurat serta ancaman komunis perlu dijadikan pedoman serta iktibar oleh setiap lapisan masyarakat terutama anggota polis kerana ia adalah bukti jelas yang keamanan negara sekarang tidak diperoleh dengan mudah.

Iklan
Iklan

Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata dalam usaha menyelamatkan negara daripada ancaman terutamanya komunis, ramai anggota terkorban dan terpaksa hidup dalam keadaan cacat seumur hidup.

"Selepas darurat pertama 1948 hingga 1960, saban tahun pihak polis terus memperkasakan diri untuk mendepani cabaran kebangkitan komunis tanpa bantuan kuasa asing sehinggalah kemenangan muktamad dicapai pada tahun 1989.

Iklan

"Kini, selepas kita berjaya mengharungi semua itu, rakyat dilihat seolah-olah leka dan melupakan sejarah. Percakaran sesama sendiri berlaku atas isu-isu remeh hanya akan menimbulkan keraguan tentang keupayaan negara untuk terus maju ke hadapan,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020.

Dalam pada itu, beliau yang menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 4 Mei 2019 turut meluahkan rasa terkilan apabila terdapat anggotanya yang terlibat rasuah, salah guna kuasa dan dadah yang diibaratkan bagai api dalam sekam.

Iklan

Katanya, PDRM kini berdepan dengan ancaman dadah dan rasuah dalam kalangan anggota yang semakin ketara dilaporkan.

"Rungutan orang ramai terhadap isu ini memang ada asasnya dan tidak boleh dinafikan. Seperti peristiwa Perang Uhud, selepas menang seketika, berlakulah perebutan harta perang, begitulah kesimpulannya yang berlaku di sini (dalam pasukan polis).

"Sebahagian daripada warga PDRM semakin lupa tentang pengorbanan pejuang-pejuang lama yang berjaya mewujudkan keamanan menewaskan Parti Komunis Malaya (PKM), keringat dan darah yang ditumpahkan oleh mereka itu telah jadi sia-sia belaka.

"Kegiatan persekongkolan dengan elemen judi, dadah, pelacuran dan sindiket penyeludupan kontraban serta manusia dijadikan sumber pendapatan sampingan, begitu juga dengan kes pemerasan ke atas orang awam dan warga asing yang mencacatkan imej pasukan,” katanya.

Abdul Hamid bagaimanapun, tetap optimis di sebalik imej negatif yang terpalit terhadap pasukannya, 80 peratus anggotanya masih bermotivasi tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Jelasnya, amalan budaya kerja baharu telah dilaksanakan seperti tiada lagi majlis dan aktiviti riadah berbentuk mewah serta santai sebaliknya kini anggotanya lebih memperkasakan dasar, tindakan dan arahan yang jelas menekankan nilai-nilai mulia.

Katanya lagi, pembersihan ‘dalaman’ yang dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah banyak membuahkan hasil sehingga ada anggota terbabit dengan jenayah ditahan, didakwa dan sebahagian besar dikenakan tindakan disiplin.

"Serentak dengan itu juga semakin banyak kes cubaan merasuah anggota di bawah (di lokasi) oleh sindiket dadah, judi, maksiat dan penyeludupan telah berjaya dipatahkan anggota yang berintegriti tinggi.

"Saya berasa amat bersyukur dan bangga atas kegigihan pegawai-pegawai ini dan sudah pasti mereka diberikan ganjaran setimpal. Saya akan terus berusaha meningkatkan imej baik pasukan.

"Sebagai agensi utama penguat kuasa undang-undang di negara ini, PDRM perlu berusaha meraih penghormatan daripada setiap rakyat dan mereka (rakyat) perlu mendapat perlindungan dan pembelaan sementara penjenayah wajar dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Hari Kebangsaan 2020 yang disambut pada 31 Ogos ini bertemakan 'Malaysia Prihatin'.- Bernama