TREN baharu Bombardier Innovia Metro 300 milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatat sejarah sebagai tren pertama dihantar menerusi pesawat kargo di Malaysia dan Asia Tengara.
Unit kelima daripada kumpulan 27 tren baharu yang dibeli di bawah projek KLAV (Kuala Lumpur Additional Vehicle) itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Antonov An124-100 semalam.
Urusan penghantarannya bermula dengan pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Plattsburgh, Amerika Syarikat (AS) pada 22 Ogos dan melakukan persinggahan di beberapa negara sebelum tiba di KLIA.
Sebelum ini, tren buatan Bombardier itu dihantar ke Malaysia dengan menggunakan kapal laut yang memakan masa dua bulan sebelum sampai di Pelabuhan Klang.
Detik bersejarah berkenaan turut disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia.
Hadir sama, wakil Bombardier Hartasuma Consortium (BHC), Tan Sri Ravindran Menon dan Ahmad Marzuki Arifin.
Sementara itu, Muhammad Nizam berkata, Prasarana gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh BHC dalam memastikan projek perbekalan tren baharu ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Rakyat Malaysia khususnya pengguna rel bandar di Lembah Klang amat ternanti-nanti ketibaan tren baharu ini.
"Ia merupakan pelaburan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat dan kemudahan pengangkutan awam bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Di bawah projek perolehan dengan BHC ini, Prasarana membeli 27 unit tren baharu Bombardier Innovia Metro 300 yang akan dipasang di fasiliti pembuatan Hartasuma di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Dengan pembelian tambahan 27 lagi tren empat-gerabak, ia akan dapat memastikan lebih keselesaan kepada pengguna di samping dapat mengurangkan tempoh masa menunggu ketika waktu puncak.
Untuk makluman, pesawat buatan Ukraine itu mampu membawa muatan sehingga 120 tan, bersamaan dengan 17 ekor gajah.
Dengan menggunakan pesawat tersebut tren empat-gerabak milik Prasana itu mampu dibawa dari AS ke Malaysia dalam masa tiga hari sahaja.