Super KIP jalani pembedahan jari di Sepanyol

Iklan
Khairul Idham (tengah) menunjukkan isyarat bagus ketika dikunjungi Prinsipal Pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali selepas menjalani pembedahan itu. Foto: Petronas SRT

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi berjaya menjalani pembedahan terhadap jari kelima tangan kanannya di Barcelona, Sepanyol pada Selasa.

Pasukan Petronas Sprinta dalam dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, pembedahan itu berlangsung kira-kira dua jam dan pasukan perubatan akan melakukan pemeriksaan selanjutnya Isnin depan bagi memastikan tempoh untuk pulih bagi pelumba berusia 21 tahun itu.

Iklan
Iklan

Khairul Idham yang lebih dikenali sebagai Super KIP berkata, beliau gembira kerana pembedahan itu berjalan dengan baik dan berharap dapat kembali berlumba pada GP San Marino dan Rimini di Sirkit Misano Dunia di Itali 11-13 September.

"Pada fikiran saya, saya bercadang untuk kembali berlumpa di Misano, tetapi kami perlu tunggu dan lihat kepada perkembangan proses pemulihan.

Iklan

"Sekurang-kurangnya kami ada rehat pendek dalam kalendar sekarang ini, jadi ia akan bantu saya. Saya akan bekerja keras dan berlatih untuk tempoh dua minggu ini, bagi memastikan saya boleh beraksi semula,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan atas kejayaan pembedahan itu.

Ini merupakan pembedahan kedua ke atas jarinya selepas pembedahan pertama pada Ogos tahun lepas di Sepanyol.

Iklan

Sepatutnya KIP mengambil bahagian pada GP Styria, namun pasukannya membuat keputusan untuk merehatkan beliau berikutan kecederaan pada jarinya itu selepas kemalangan pada sesi kelayakan GP Republik Czech di Litar Bruno awal bulan ini. - Bernama