KAFA tagih sokongan dana penaja

Iklan

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini menagih sokongan dana daripada penaja bagi 'menghidupkan' persatuan itu yang ketika ini berdepan masalah kewangan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Timbalan Pengerusi Penajaannya, Datuk Ir Shamin Fahmin Hassan berkata, pihaknya amat optimis dengan apa jua bentuk bantuan yang menguntungkan persatuan itu terutama kepada para pemain dan pegawai bagi memastikan KAFA dapat menarik nafas lega.

Iklan
Iklan

"Kami di KAFA sentiasa menyantuni apa jua cadangan, bantuan atau apa-apa hasrat dari luar yang berminat untuk bersama berganding bahu menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

"Pihak KAFA juga menganggap pertemuan dengan satu syarikat yang berminat untuk mengambil alih pengurusan The Red Warrior (TRW) adalah satu usaha positif dan kini pihak perundangan KAFA akan menyerahkan draf perjanjian dalam masa terdekat," menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Ketika ini, isu pembelian TRW oleh pakar pelaburan Norizam Tukirman masih tergantung dan belum ada kata putus daripada kedua-dua pihak yang mengambil pendekatan kunci mulut berhubung isu itu.

Shamin Fahmin berkata, kepimpinan KAFA ketika ini berusaha mencari penaja dan yakin akan menemui jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.

Iklan

"Kini KAFA mendapat sambutan amat positif daripada para penaja dan pelbagai pihak untuk turut membantu berganding bahu bersama KAFA walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ekoran tekanan daripada kesan pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya. - Bernama