Anggota PGA Batalion 8 diugut bunuh
RANTAU PANJANG - Peluru dekat Thailand berharga RM2.50 saje bos, aku cam muka korang. Nanti aku akan tembak semua polis yang buat rondaan, itu kata-kata ugutan seorang lelaki kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa ketika mahu melakukan pemeriksaan ke atas individu terbabit di sebuah pangkalan haram di sini awal pagi semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, kejadian jam 12.30 tengah malam itu berlaku ketika anggotanya sedang melakukan rondaan rutin telah terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
"Melihat kelibat lelaki itu, anggota ronda dari unit bermotosikal terus menghampirinya untuk membuat pemeriksaan pada tubuh badan.
"Tetapi lelaki tersebut enggan memberikan kerjasama dan bertindak mengeluarkan sebilah pisau berbentuk sabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu lelaki tersebut turut menghamburkan kata-kata berbau ugutan yang berbunyi ‘jangan masuk, saya ada pisau, kalau rapat saya akan tikam.’
Katanya, anggota PGA kemudian cuba berbincang dengan lelaki tersebut tetapi dia bertindak mencampakkan pisau sabit ke dalam sebuah perahu yang berada di tepi sungai Golok.
"Lelaki itu kemudian terus terjun ke dalam sungai seterusnya berenang menghala ke Thailand," katanya.
Muhammad berkata, barangan rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut.