Musa syukur keputusan mahkamah benarkan semakan rayuan

Iklan
MUSA

SHAH ALAM - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bersyukur terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan semakan rayuan untuk diisytiharkan sebagai Menteri Sabah yang sah.

Beliau berkata, keputusan itu telah memberikan peluang untuk kes itu dibicarakan sepenuhnya di peringkat mahkamah tertinggi.

Iklan
Iklan

"Mahkamah Persekutuan mengambil ketetapan bahawa kes terhadap Tuan yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Datuk Seri Shafie Apdal bukan bersifat akademik.

"Justeru wajar diperdengarkan supaya Mahkamah Persekutuan dapat menentukan keabsahan langkah menolak saya sebagai Ketua Menteri, susulan pelantikan Shafie sebagai penyandang jawatan berkenaan.

Iklan

"Mahkamah Persekutuan juga mengambil pendirian bahawa dapatan daripada kes ini adalah sangat signifikan, bukan hanya melibatkan seorang individu tetapi untuk semua rakyat Sabah khususnya dan negara amnya. Rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada langkah penyingkiran terhadap saya sebagai Ketua Menteri dibuat selaras Perlembagaan Sabah atau sebaliknya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, mahkamah juga menyatakan yang kes ini mempunyai implikasi perlembagaan dan perundangan di peringkat Persekutuan.

Iklan

"Seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa kes ini bukan berkisar mengenai diri saya. Ia adalah berhubung perjuangan menuntut kebenaran, keadilan dan memartabatkan Perlembagaan Sabah.

"Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pasukan perundangan saya yang memberikan dedikasi sepenuhnya terhadap kes ini dan saya yakin bahawa mereka akan terus berbuat demikian pada masa depan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Musa dibenar teruskan rayuan cabar pelantikan Shafie