PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan melunaskan bayaran gaji tertunggak kepada pemain berjumlah RM1.26 juta pada hujung minggu ini.
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah bayaran itu termasuk bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Iklan
Iklan
Katanya, dia berusaha untuk mengotakan janjinya itu dan terdapat penaja yang sudah bersedia untuk membayar tunggakan berkenaan.
"Gaji ini tak kira lah bulan berapa, tapi yang penting mereka dapat gaji sebelum mereka beraksi menentang PDRM FA pada saingan CIMB Liga Super Sabtu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,"katanya ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Islam Kedah berkenaan penajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, KFA memberi jaminan bahawa isu gaji tertunggak yang dihadapi pemain sejak Mac lalu akan dapat diselesaikan pada musim 2020 ini.
KFA juga sudah menjelaskan bayaran gaji bagi bulan Julai selepas skuad Lang Merah tidak menerima sebarang tunggakan gaji sejak lebih lima bulan lalu.
Bagaimanapun bagi tunggakan gaji bagi bulan Mac, April, Mei dan Jun, KFA masih belum menyatakan bila akan diselesaikan dan ia bergantung kepada rundingan bersama pemain-pemainnya.