TANJUNG MALIM - Penyertaan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) diumpamakan seperti kekasih yang meninggalkan pasangan kerana ingin bercinta dengan orang lain.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gambaran itu diberikan kerana selama ini parti itu berpendirian untuk bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
"Kita kena tanya kepada UMNO, kenapa kekasihnya itu pergi bercinta dengan orang lain, sedangkan persetujuan berkahwin telah dibuat bersama..ibarat ada dua cinta pula," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ketika demikian ketika diminta memberi pandangan ketiadaan UMNO dalam PN sedangkan Pas telah bersetuju untuk bersama dalam gabungan itu.
Salahuddin yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, situasi politik baharu Pas itu yang bersama UMNO dalam Muafakat Nasional dan menyertai gabungan PN tanpa kehadiran UMNO adalah sesuatu yang menarik untuk diteliti.
"Itu juga satu perangai Pas yang harus saya dan kawan-kawan saya teliti..dulu tak macam ni," katanya.
Dalam perkembangan sama beliau melihat, kehadiran bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meninjau perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, dua hari lalu sebagai indikator penting untuk dinilai.
Katanya, sekiranya isyarat diberikan Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Kempas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu jelas, akan berlaku perubahan dalam politik Johor untuk tempoh terdekat ini.
"Saya difahamkan dia datang dan berkempen untuk calon Bebas yang guna lambang pokok.
"Ini satu isyarat penting dan menarik untuk dilihat kerana saya difahamkan beliau ada beberapa pengikut, jika isyarat itu jelas, kemungkinan ada sesuatu bakal berlaku di Johor dalam masa terdekat ini," katanya.
Terdahulu, Salahuddin hadir ke Majlis Ramah Mesra Pimpinan Amanah bersama Media di Bilik Operasi Amanah di sini hari ini.