NORMAL kehidupan seharian kita mula berubah sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal tahun 2020 dan turut terkesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jika sebelum ini kita bebas ke sana ke mari tanpa perlu risau tentang keselamatan dan kesihatan, kini tidak lagi.
Sekarang, setiap kali ingin melangkah masuk ke sebarang premis makanan, pakaian, pusat kecantikan kita ataupun pejabat, kita perlu memberikan bacaan suhu badan serta rekod peribadi seperti nama dan nombor telefon.
Mungkin ramai tidak tahu rekod suhu badan ketika pemeriksaan di mana-mana premis perniagaan tidak sepatutnya dicatatkan dalam buku atau disimpan secara rekod digital sehinggalah media melaporkan perkara itu.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, ketika menjelaskan perkara itu berkata, penyimpanan rekod suhu badan pengunjung adalah bercanggah dengan kerangka tatacara pengendalian dan penyimpanan data peribadi yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, berdasarkan garis panduan itu, hanya nama, nombor telefon, tarikh dan masa kehadiran pengunjung di premis perniagaan perlu direkodkan sama ada pada buku atau secara simpanan digital.
Data peribadi hanya digunakan untuk pengesanan kontak manakala tempoh simpanan data pengunjung adalah sehingga enam bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mesti dimusnahkan secara kekal selepas sembilan bulan.
Sebenarnya, sedar atau tidak, penggunaan aplikasi MySejahtera terbukti membantu kerajaan untuk mengesan pesakit Covid-19 dan kontak rapat bagi menghalang penularan wabak itu daripada menjadi lebih serius.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sehingga 16 Ogos lalu, seramai 15.1 juta pengguna sudah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan 322 pesakit dikesan melaluinya.
Pencarian menerusi aplikasi MySejahtera mempercepatkan usaha mengesan kontak rapat pesakit dan kerajaan berharap penggunaannya akan diperluaskan pada masa akan datang.
Setiap pemilik premis dan orang ramai perlu memberi kerjasama penuh kepada kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.
Cabaran menghadapi Covid-19 ini bukan hanya perjuangan frontliners tetapi perjuangan kita semua.