KUALA LANGAT - Sebuah kafe milik warga asing disita oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam operasi yang dijalankan di Bandar Saujana Putra hari ini.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, operasi yang dijalankan mendapati kafe tersebut dikendalikan oleh warga asing.
"Pemeriksaan mendapati kafe berkenaan milik warga asing (Sudan).
"Anggota penguat kuasa kemudian menyita kafe tersebut termasuk barang-barang seperti shisha, meja, kerusi, monitor komputer, amplifier dan lain-lain," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, MPKL tidak berkompromi dengan warga asing yang menjalankan perniagaan di daerah Kuala Langat.
"Selaras dengan arahan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak membenarkan warga asing menjalankan perniagaan di Kuala Langat khususnya.
"MPKL akan mengambil tindakan tegas demi menjaga kesejahteraan peniaga-peniaga warga tempatan," katanya.
Menurutnya, penduduk Kuala Langat yang mempunyai maklumat berkaitan perniagaan yang melibatkan warga asing boleh menghubungi MPKL melalui talian 03-3187 2825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor (SISPAA).