KUALA LUMPUR - Tiga rang undang-undang melibatkan mahkamah menjadi tumpuan hari ini dengan penyertaan lebih 20 ahli Parlimen yang majoritinya merupakan pengamal undang-undang.
Pindaan ke atas Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955 itu diluluskan dengan sokongan suara terbanyak walaupun rata-rata wakil rakyat pembangkang mencadangkan pindaan diteliti sebelum diluluskan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi kerajaan seperti aspek teknologi, peruntukan kewangan serta jaminan terhadap sistem keselamatan yang akan diguna pakai.
Perbahasan dimulai dengan pindaan ke atas Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020 yang melibatkan prosiding mahkamah dijalankan melalui rangkaian video atau televisyen secara langsung atau apa juga medium komunikasi elektronik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata kaedah tersebut adalah alternatif yang membolehkan pihak terlibat dalam prosiding memilih sama ada prosiding kes dijalankan secara dalam talian atau fizikal.
Katanya, buat masa ini pengendalian itu hanya diguna pakai untuk prosiding kes sivil.
"Perkara ini bukanlah sesuatu yang mandatori, perincian kes yang akan didengar secara dalam talian akan dibuat melalui arahan amalan atau 'practice direction' yang akan dibuat oleh Badan Kehakiman, pihak Ketua Hakim Negara atau Pejabat Ketua Hakim Negara.
"Pada masa ini, pendengaran dalam talian adalah bagi kes-kes sivil sahaja dan mesyuarat telah diadakan di antara Badan Kehakiman dan Majlis Peguam pada 18 Jun sebelum rang undang-undang ini dibawa ke Parlimen," katanya.
Memperincikan perkara itu, Takiyuddin menegaskan bahawa pindaan akta tersebut dirancang sebelum negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).
Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020, pula RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan isu implikasi kepada saksi perbicaraan, keupayaan mahkamah rendah menjalankan perbicaraan menggunakan teknologi susulan tiada kelengkapan yang diperlukan selain masalah jumlah kes perbicaraan yang banyak setiap hari.
"Kita risau tanpa kehadiran saksi secara fizikal ke mahkamah, misalnya mereka berada di rumah atau bilik khas, saksi mungkin cenderung memberi kenyataan yang tidak benar," katanya.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) membangkitkan kerisauan kemungkinan berlaku"separation of power" sekiranya pindaan Subseksyen 3(2) akta itu berhubung cadangan keanggotaan Hakim Kanan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur digantikan dengan keanggotaan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam keanggotaan Jawatankuasa Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah diluluskan
Bagaimanapun Takiyuddin dalam penggulungannya menjelaskan penggantian itu adalah sesuai berikutan jawatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berstatus Ketua Jabatan di Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dan merupakan jawatan Pegawai Undang-Undang tertinggi di PKPMP.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama