TANJUNG MALIM - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menuntut tindakan tegas dikenakan ke atas penceramah dan parti politik yang menyalah guna masjid bagi tujuan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini seperti tular hari ini.
Pengerusi Amanah negeri, Datuk Asmuni Awi berkata, ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan larangan perkara itu telah diutarakan beberapa kali dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin juga telah memanggil semua pimpinan parti menghadap untuk diberikan peringatan tegas.
"Saya baru dapat laporan pagi tadi melalui WhatsApp dan kalau betullah berlaku, ia satu perkara yang amat dikesali dan jelas melanggar peringatan yang berulang kali disebut oleh baginda Sultan.
"Jadi kita mintalah jentera pilihan raya untuk membuat laporan rasmi kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya tindakan tegas diambil sama ada kepada jawatankuasa masjid, penceramah atau parti politik yang membenarkan kejadian ini berlaku," katanya.
Menurutnya, tindakan dan penguatkuasaan yang tegas perlu dikenakan kerana pelakuan menyalahguna masjid untuk politik telah mencemar nama baik institusi agama.
"Kita nak pastikan perkara ini tidak berulang," katanya.
Terdahulu, tular satu video seorang penceramah mendedahkan bahawa beliau telah menggunakan platform kuliah di masjid untuk berkempen di PRK DUN Slim.
Video berdurasi 52 saat itu dirakam dalam sebuah ceramah sejurus penceramah itu menyampaikan kuliah di sebuah masjid di Trolak.
JAIPk dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan semua pengerusi masjid dan surau di kawasan yang terlibat secara langsung pada PRK supaya tidak membenarkan masjid dan surau dijadikan sebagai lokasi kempen.