Harimau Selatan sedia lepaskan Safawi

Iklan
Safawi antara penyerang muda tempatan yang mencipta impak positif pada saingan domestik dan Asia. - Foto Johor Southern Tigers

PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia melepaskan penyerang kelab itu, Safawi Rasid yang dilamar kelab Liga Premier Portugal, Portimonense SC.

Menerusi kenyataan di Instagramnya, Tunku Ismail menyatakan Safawi akan dilepaskan sebaik sahaja saingan Liga Malaysia (Liga-M) berakhir Oktober depan.

Iklan
Iklan

"Kelab akan lepaskan selepas habis league (liga), all the best Safawi,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut memberikan kredit kepada Terengganu yang berjaya melahirkan pemain berkualiti seperti Safawi.

ARTIKEL BERKAITAN: Safawi dilamar kelab Portugal

Iklan

"Terengganu develop (lahirkan) Safawi, JDT turn into a superstar. Juara liga, juara Piala FA, juara Piala Malaysia dan dua tahun bermain di peringkat kelab Juara-Juara Asia. Syabas,” katanya.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, kelmarin mengesahkan skuad Harimau Selatan itu menerima tawaran rasmi untuk Safawi daripada Portimonense SC dan bersedia melepaskan anak jati Dungun, Terengganu berusia 23 tahun itu.

Iklan

"Kelab percaya tawaran ini baik untuk JDT dan Safawi, oleh itu, kami bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran itu kerana rundingan akhir masih dijalankan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi kelab itu, JOHOR Southern Tigers.

Perkembangan Safawi itu bakal menyaksikan seorang lagi pemain negara bakal beraksi di Eropah selepas tonggak Bawah 19, Luqman Hakim Shamsuddin ke KV Kortrijk, Belgium baru-baru ini.