Pekebun musang king perlu dibela

Iklan

BEBERAPA pekebun musang king di Raub, Pahang yang sanggup menebang pokok durian yang ditanam hasil titik peluh mereka sendiri menimbulkan kejutan dan tanda tanya kepada ramai orang.

Tindakan mereka yang boleh dilihat dalam rakaman video dan ditular beberapa hari yang lalu turut mendapat simpati, lebih-lebih lagi penggemar musang king yang menatap pokok itu rebah satu demi satu ke tanah.

Iklan
Iklan

Apakah yang berlaku sebenarnya di sebalik kejadian yang pada Isnin lalu itu? Situasi itu rupa-rupanya adalah tindakan pekebun durian untuk melepaskan perasaan geram, kecewa dan marah.

Mereka mendakwa adalah lebih baik membiarkan pokok-pokok durian musnah daripada diambil alih oleh syarikat korporat dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh.

Iklan

Pada hari yang sama itu juga, sekumpulan pekebun durian yang mengusahakan tanaman durian atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, memegang pelbagai sepanduk dan melaungkan slogan meminta kebun mereka diselamatkan.

Kerajaan Pahang sebelum ini dilaporkan akan bertindak terhadap semua kebun haram di Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub bermula Ahad lalu.

Iklan

Bermula pada Ahad lalu, kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di kedua-dua kampung tersebut.

Ahli-ahli Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) ketika berhimpun mengadakan bantahan di pasar Sungai Klau Raub, Pahang pada Isnin lalu.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataan memberi amaran akan mengambil tindakan sama ada didakwa di mahkamah atau dimusnahkan tanaman berkaitan jika terdapat pihak yang menceroboh selepas tarikh itu.

Kerajaan negeri dilaporkan telah memaklumkan bahawa tanah yang diduduki secara haram itu dipajakkan kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP), di mana kedua-dua syarikat itu adalah usaha sama antara Royal Pahang Durian Group (RPDG) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).

RPDP-PKPP bakal mengendalikan kilang pemprosesan durian terbesar negara bernilai RM40 juta yang dijangka siap pada Jun 2021.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani pada 12 Mac lalu, RPDP-PKPP akan melabur bersama dalam membina, memiliki dan mengendalikan kemudahan pemprosesan durian yang canggih di Raub, dengan kapasiti pembekuan awal 3,500 tan metrik sebulan.

RPDR dianggotai oleh beberapa tokoh korporat dalam lembaga pengarah dengan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai pengerusinya.

Ternyata di bawah perancangan yang disusun atas kerjasama dua buah syarikat itu, proses pengeluaran musang king di negara kita pastinya akan lebih produktif dan profesional.

Bagaimanapun, nasib pekebun durian di Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.

Kerajaan negeri selain perlu memastikan usaha penanaman mereka boleh diteruskan seperti sediakala, malahan hasil pengeluaran mereka juga dapat dijual mengikut harga yang munasabah.

Bagi menyelesaikan masalah timbul, diharapkan ia dapat membawa situasi ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pihak, iaitu syarikat dan pekebun haram. Rundingan perlu diatur dengan serta-merta.

Sebelum ini sudah terdapat rungutan sesetengah pekebun mendakwa kontrak yang ditawarkan kepada mereka itu termasuk bayaran levi yang dikenakan terlalu tinggi.

Bayaran levi

Bayaran levi yang dikenakan sebanyak RM6,000 per ekar (dengan kira-kira 30 pokok durian yang matang) pada tahun 2020 akan dikenakan kepada pekebun.

Ini bermakna sekiranya seorang pekebun yang memiliki tanah seluas 10 ekar, mereka perlu membayar sewa RM60,000 bagi tahun ini.

Wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Pahang turut meminta kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Mereka mahu pekebun yang dianggarkan lebih kurang 500 orang yang mengusahakan tanaman durian di kedua-dua kampung itu diberikan keutamaan sebagai penyewa sah berbanding memberikannya kepada pihak syarikat korporat dan syarikat swasta untuk diusahakan.

Pemimpin-pemimpin pembangkang itu menyoal, sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan untuk menyewa tanah dusun durian, kenapa tidak memberi keutamaan kepada pekebun-pekebun tempatan yang telah mengusahakan dusun sejak berpuluh-puluh tahun?

Bagi memberikan peluang kepada pekebun-pekebun musang king meneruskan kerja penanaman mereka, kerajaan negeri seharusnya memikirkan sedalam-dalamnya akan nasib dan masa depan mereka.

Kerajaan negeri juga mesti mengambil kira masa dan tenaga yang dicurahkan oleh pekebun tempatan setelah mereka berjaya membawa imej musang king di persada antarabangsa sambil membantu menjana pendapatan kepada negara.

Memang tidak dinafikan, pencerobohan tanah adalah satu tindakan yang merugikan kerajaan negeri kerana kerajaan gagal memperoleh hasil kutipan cukai tanah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak mengakui Pahang telah rugi sebanyak RM30 juta hasil cukai tanah susulan pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub membabitkan kawasan seluas 4,400 hektar tanah.

Mulai Selasa lalu, pihak polis mula membuat sekatan di jalan masuk ke kebun-kebun durian haram berkenaan. Keputusan itu bertujuan mengelakkan mana-mana individu menceroboh kawasan kebun yang telah dipajakkan oleh kerajaan negeri kepada RPDP-PKPP.

Diharapkan isu membabitkan sara hidup pekebun seperti ini dapat diselesai dengan baik. Jawatankuasa Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) yang dibentuk dan ditugaskan mewakili pekebun haram di Raub perlu bijak memainkan peranan untuk menyelesaikan isu tanpa sebarang agenda peribadi.

Begitu juga dengan kerja-kerja penanaman musang king. Ia tidak boleh diabaikan sehingga menjejaskan produktivitinya. Ketika kerajaan negeri berusaha untuk memutihkan tanah tidak berdaftar, nasib pekebun-pekebun durian ini pun harus dibela.

Kita turut berharap pekebun-pekebun haram ini perlu berlapang dada dan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menjamin kelangsungan hidup mereka.

Demi musang king dan kepentingan negara, tidak salahnya kedua-dua pihak bertolak ansur untuk mencapai kata sepakat. Perbuatan menebang pokok sesungguhnya hanya melepaskan perasaan dendam.

Ia tidak membawa faedah kepada mana-mana pihak.