Kempen jitu Bebas wajar dipuji

Iklan
Pengantin lelaki, Muhammad Amirul Aizar Zawavi (kiri) melakukan saringan suhu badan kepada calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (kanan) sambil disaksikan oleh isterinya, Nurul Haziqah Mohd Asri (dua dari kiri) ketika menghadiri Majlis Perkahwinannya di Felda Besout 1 sempena kempen PRK DUN Slim di sini baru-baru ini. - Foto Bernama

HANYA berbaki dua hari lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebelum menyaksikan 23,094 pengundi berdaftar di kawasan itu menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.

Pilihan raya itu merupakan PRK ke-12 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Pertandingan tiga penjuru kali ini bukanlah sesuatu yang baharu buat pengundi di Slim kerana dalam pilihan raya sebelum ini, Barisan Nasional (BN) selaku penyandang kerusi dicabar calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bezanya kali ini, kempen calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang dibantu Pas dan Bersatu berdepan dengan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44.

Iklan

Sekalipun kemeriahan kempen lebih memihak kepada calon BN, dua calon Bebas yang bertanding ini tidak sedikit pun menampakkan usaha mengalah, malah terus menyatakan mereka mampu menawan hati pengundi.Ia diterjemahkan melalui siri kempen yang semakin diperhebat dari sehari ke sehari.

Tidak tertumpu kepada ceramah umum sepertimana kebiasaannya, kedua-dua calon Bebas memilih kempen bersemuka secara terus dengan pengundi, bergerak dari rumah ke rumah dan mengunjungi kawasan tumpuan orang ramai.

Iklan

Amir Khusyairi, calon Bebas yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah merangka gerak kerja yang dilihat begitu meyakinkan sejak hari pertama kempen berlangsung pada 15 Ogos lalu.

Santharasekaran memberi penerangan sewaktu bertemu penduduk setempat ketika berkempen di Estet Kelapa Bali baru-baru ini. - Foto Bernama

Membawa suara anak muda, beliau turut menggunakan peluang mendekati pengundi muda menerusi beberapa program diatur antaranya pertandingan bola sepak bersama generasi Felda, sepak takraw dengan komuniti orang asli dan lawatan ke gelanggang badminton.

Dokongan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta kekuatan aspirasi daripada Tun Dr Mahathir Mohamad banyak membantu anak jati Perak itu yang membawa tagline ‘Jangan Riso, Teman Ada’.

Bagi Santharasekaran pula, pengalaman selama hampir 15 tahun sebagai seorang guru banyak membantu melancarkan gerakan kempennya.

Meskipun tidak semeriah calon lain, jadual kempen Santharasekaran tetap sibuk dengan program ziarah, lawatan ke rumah, beramah mesra dengan pengundi di tempat umum dan beliau sudah pun menjelajah ke semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Sebagai blok Bebas, usaha yang mereka lakukan sememangnya mampu memberi impak kepada pengundi dan parti BN itu sendiri.

Ia pernah diakui pimpinan tertinggi BN yang rata-rata tidak mengambil mudah dan tidak memandang rendah atas keupayaan kedua-dua calon Bebas itu.

Ternyata tempoh 14 hari berkempen dimanfaatkan sebaiknya oleh ketiga-tiga calon yang bertanding.

Ukuran atas kertas sudah pastilah peluang BN untuk menang cerah dan peluang calon Bebas pula adalah berpandukan kepada penerimaan rakyat dalam tempoh berkempen ini.

Kayu ukur terhadap apa yang rakyat sudah lalui selama 22 bulan pada pemerintahan Pakatan Harapan (PH) lalu juga bakal mempengaruhi pilihan pengundi.