Roti Paung Che Wan berkembang pesat

Iklan
Salah seorang pekerja Roti Paung Che Wan menunjukkan roti yang siap dibakar.

PERMINTAAN tinggi mendorong syarikat Roti Paung Che Wan berhasrat melebarkan sayap perniagaan mereka ke seluruh negara dengan menggunakan kaedah francais.

Pengurusnya, Wan Mohd Ridhwan Wan Khalid, 43, berkata, setakat ini syarikat berkenaan mempunyai tiga cawangan francais di Nilai, Negeri Sembilan; Bangi, Selangor dan Johor yang dibuka sejak Julai tahun lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea membawa makanan popular masyarakat Terengganu ke pantai barat itu berikutan permintaan daripada pelanggan di kawasan berkenaan.

"Ramai pelanggan dari luar Terengganu minta kita bukan cawangan di luar. Apabila difikirkan memang ia satu perkembangan yang bagus supaya masyarakat luar dapat menikmati keenakan roti paung Terengganu.

Iklan

"Tapi kerana kemampuan saya terhad dan ia agak sukar dilaksanakan sehinggalah ada pihak yang berminat membuka cawangan Roti Paung Che Wan di luar Terengganu melalui kerjasama francais,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Dua pekerja Roti Paung Che Wan membulatkan doh menggunakan tangan untuk menghasilkan roti paung yang lembut dan gebu.

Susulan itu, katanya, beliau berhasrat meneroka pula pasaran di bahagian utara, sekali gus memenuhi permintaan pelanggan di kawasan berkenaan.

Iklan

Jenama Roti Paung Che Wan bermula di Manir, Kuala Terengganu, Terengganu sejak 2007.

Pada ketika itu, operasinya hanya melibatkan tiga pekerja manakala pengeluarannya pula sekitar 40 biji sehari.

Bagaimanapun, jumlahnya bertambah dari sehari ke sehari sehingga mencecah 1,000 biji sehari.

Cawangan

Hari ini, syarikat tersebut berkembang pesat dan memiliki 11 cawangan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut, Setiu, Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Difahamkan, syarikat itu menghasilkan kira-kira 5,400 biji roti setiap hari untuk diedarkan ke semua cawangannya di seluruh Terengganu.

Roti paung yang sudah siap dibulatkan.

Kesemua roti berkenaan dibakar menggunakan tiga buah dapur, masing-masing terletak di Manir, Pasir Panjang dan Besut.

Setakat ini, syarikat berkenaan mengeluarkan dua jenis roti paung iaitu mentega dan kacang merah yang mana setiap satunya dijual pada harga RM3 dan RM3.50 di cawangannya bermula dari 12.30 tengah hari pada setiap hari kecuali Jumaat.

Wan Mohd Ridhwan berkata, Syarikat Roti Paung Che Wan yang menggunakan khidmat 35 pekerja memulakan operasinya seawal jam 8 pagi.

Manual

Menurutnya, kerja-kerja menghasilkan roti berkenaan dilakukan secara manual tanpa bantuan mesin bagi mengekalkan kualiti dan rasanya.

"Proses membuat roti paung dimulakan dengan campuran tepung gandum, mentega, telur dan yis yang diuli menjadi doh dan kemudiannya dibulatkan menggunakan tangan supaya saiz roti paung dihasilkan sama.

"Biasanya, jam 12 tengah hari prosesnya akan selesai dan doh direhatkan selama empat jam sebelum dibakar dalam ketuhar dan disapu mentega di atasnya selepas proses membakarnya selesai,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kualiti dan rasa roti paung yang dijual di cawangan luar sama dengan roti paung di Terengganu, kakitangan francaisi akan diberikan kursus selama seminggu.

Wan Mohd Ridhwan bersama Roslili Ayu mengusahakan Roti Paung Che Wan sejak 13 tahun lalu.

Wan Mohd Ridhwan berkata, Roti Paung Che Wan menggunakan resipi yang diolah bersama isterinya, Roslili Ayu Ramli, 43.

Wan Mohd Ridhwan berkata, selain menjual roti paung menerusi cawangannya, syarikat tersebut turut menerima tempahan daripada pelanggan di luar Terengganu.

Menurutnya, lebih kurang 50 hingga 100 biji roti paung dihantar menggunakan kurier setiap hari.

"Kita ada juga menerima permintaan pelanggan dari Sabah, Sarawak dan luar negara tapi tidak berani hantar melalui kurier kerana bimbang roti rosak ketika dalam perjalanan.

"Ini kerana tanpa menggunakan bahan pengawet roti paung hanya mampu bertahan selama lima hari,” katanya.