TANJUNG MALIM - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz berjanji akan menyegerakan pemindahan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim di Slim River dalam tempoh 100 hari jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim.
Beliau berkata, pemindahan PPD Muallim di Slim River ke Tapah ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) begitu membebankan guru dan ibu bapa untuk berurusan.
Menurutnya, PPD Muallim wajar dipindahkan semula ke Slim River bagi memudahkan urusan guru dan ibu bapa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran memandangkan jarak dari Slim River ke Tapah begitu jauh kira-kira 50 kilometer (km).
"Penduduk merungut PPD Muallim dipindahkan dan mereka terpaksa ke Tapah untuk urusan anak, begitu juga dengan guru-guru yang saya jumpa menyatakan keluh kesah kerana nak ke Tapah memakan masa. Kita pelik kenapa PH nak hentikan operasi PPD Muallim ini.
"Inilah antara keutamaan yang akan saya berikan sebab pendidikan dekat dengan saya dan masyarakat," katanya dalam temu bual khas bersama media di Felda Residence Trolak di sini.
Mohd Zaidi berkata, beliau berharap isu pemindahan PPD berkenaan mendapat sokongan kerajaan negeri dan Menteri Pendidikan.
"Di daerah Muallim ini kita ada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan beberapa institusi pendidikan lain, jadi perlu ada integrasi.
"Saya harap perkara ini dapat sokongan daripada exco kerajaan negeri dan menteri berkaitan," katanya.
Katanya, isu pemindahan semula PPD Muallim itu juga merupakan antara hasrat bekas ADUN Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang tidak sempat direalisasikan.
Sementara itu, selain isu PPD Muallim, Mohd Khusairi juga pernah mencadangkan supaya diwujudkan pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di daerah Muallim bagi membantu menyelesaikan masalah banjir di Slim River.
"Ini juga merupakan hasrat Allahyarham sebab pejabat JPS terdekat adalah di Tapah tapi Tapah tak banjir, di sini banjir. Kita dah cakap kepada pihak atasan untuk tengok perkara ini.
"Sudah sampai masanya jabatan ini berada di sini untuk mudahkan sebarang urusan dan menyelesaikan masalah banjir yang berlaku sejak sekian lama di sini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi turut mendedahkan Allahyarham Mohd Khusairi pernah meluahkan kekecewaan apabila tidak pernah dipilih sebagai Exco Kerajaan Perak selama empat penggal menjadi ADUN Slim walaupun namanya pernah disenaraikan.
Namun katanya, Mohd Khusairi tidak pernah melatah dan marah kerana tidak terpilih untuk menduduki jawatan tersebut.
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri sama ada untuk mempertimbangkan jawatan exco kepadanya jika menang di kerusi DUN Slim itu nanti.
"Bagi saya, kita serahkan kepada pucuk pimpinan (jawatan exco kerajaan negeri). Kalau nampak Tanjung Malim perlukan seorang exco atau pelantikan jawatan tertentu sama ada di peringkat negeri atau pusat untuk bantu merancakkan pembangunan di sini, alhamdulillah.
"Tapi kalau tak ada pun saya kena buat jugalah kerajaan kalau saya dapat mandat nanti sebagai wakil rakyat sebab saya dah dipilih," katanya yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.