Empat lelaki menyamar mekanik seludup gas LPG

Iklan
Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa sebuah stor di Jalan Tampin-Senawang, Seremban yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan gas LPG bersubsidi.

SEREMBAN - Seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing ditahan kerana disyaki cuba menyeludup gas cecair petroleum (LPG) bersubsidi dengan memindahkannya ke dalam tong industri di sebuah stor di Jalan Tampin-Senawang di sini pada 18 Ogos lalu.

Ketua Seksyen Siasatan, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, suspek menggunakan modus operandi menyamar sebagai mekanik bengkel kereta bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Iklan
Iklan

"Helah mereka terbongkar selepas sebuah stor berkenaan diserbu sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP pada jam 2 petang.

"Kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan tiga lelaki warganegara Myanmar berusia 22 hingga 37 tahun yang berada di premis terbabit bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Iklan

Shamsul Nizam berkata, pihaknya menemui tong berisi gas LPG untuk kegunaan domestik dan industri serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.

"Kita turut menyita treler dengan had muatan 40 tan yang pada masa itu dipenuhi dengan tong gas LPG 14 kilogram (kg) berserta lori lima tan yang dipenuhi dengan tong gas LPG 50kg," katanya.

Iklan

Katanya, semua barangan berkenaan serta lori dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM148,572.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 9 (2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.