KPDNHEP sita 6,794 kampit baja bersubsidi

Iklan
Mohd Shahran (kiri) memeriksa baja bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar pada 18 Ogos lalu.

BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menyita sebanyak 6,794 kampit baja bersubsidi pelbagai jenis bernilai RM287,874 dalam satu serbuan di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar pada 18 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, baja seberat 212,040 kilogram (kg) itu ditemui ketika serbuan kira-kira jam 4.35 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan terdapat seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang merupakan pekerja di gudang terbabit.

"Hasil siasatan mendapati gudang terbabit telah beroperasi kira-kira 20 tahun lalu dan pekerja itu sudah bekerja di situ hampir 14 tahun," katanya ketika sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Iklan

Mohd Shahran berkata, pemilik premis berkenaan dipercayai membeli baja daripada petani di sekitar daerah Kota Setar dengan harga yang lebih murah sebelum membungkus semula dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

"Cuma semasa serbuan tiada kerja-kerja pembungkusan sedang dijalankan tetapi kita dapati terdapat mesin-mesin pembungkusan dalam premis berkenaan dan kita turut merampas mesin terbabit.

Iklan

"Kita percaya pemilik ini mempunyai pembelinya sendiri, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih giat mengesan pemilik gudang ini untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, gudang berkenaan terletak di kawasan kampung yang agak terpencil dan pihaknya mengambil masa selama tiga hari untuk mengangkut keseluruhan baja terbabit.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang sama iaitu berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan membabitkan individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun ataupun kedua-dua sekali. Manakala untuk syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta untuk kesalahan seterusnya," katanya.

Katanya, pihaknya turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

"Selain itu pengguna yang mempunyai maklumat dan aduan boleh menyalurkannya melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my.

"Aduan juga boleh dibuat di aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 04-7001745, atau talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC)," katanya.