KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal kenyataan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk A Kadir Jasin yang mendakwa barisan kepimpinan baharu MPT parti itu didominasi bekas pemimpin UMNO.
Ahli MPT Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tiada istilah ‘lebih UMNO’ dalam MPT yang baharu kerana mereka dipilih oleh perwakilan dan ahli berdasarkan keupayaan serta kredibiliti memimpin.
Menurutnya, masa sudah berubah dan parti juga perlu berevolusi mengikut keadaan semasa selepas empat tahun penubuhan Bersatu.
"Secara logiknya jika mahu memilih pemimpin semestinya kita mahukan mereka yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin. Jadi pastinya perwakilan dan ahli Bersatu yang memilih barisan MPT baharu juga mahukan individu yang berkualiti.
"Sekarang ini Bersatu bukan lagi parti di peringkat penaja seperti awal penubuhan sebelum ini. Maka sudah sampai masanya parti menetapkan hala tuju yang lebih tuntas dengan dipimpin oleh mereka yang dianggap berwibawa dalam kalangan ahli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, A Kadir menyifatkan barisan MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2022 kelihatan 'lebih UMNO' jika dibandingkan sewaktu parti itu mula ditubuhkan dahulu.
ARTIKEL BERKAITAN MPT Bersatu bersifat 'lebih UMNO'
Beliau berkata, ia jelas ketara melalui susunan atau kompilasi MPT itu sendiri selepas Bersatu mengadakan pemilihan pucuk pimpinan peringkat nasional pada 22 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan, selesai sahaja pemilihan minggu lalu, kesemua mereka yang dipilih oleh perwakilan perlu memikirkan cara bagaimana untuk memperkukuhkan lagi Bersatu.
Katanya, ini kerana pemilihan tempoh hari juga berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan kini tiba masanya untuk semua ahli serta memimpin kembali berjuang untuk kesinambungan perjuangan Bersatu.
"Saya mengistilahkan hasil daripada pemilihan penuh kekeluargaan itu, yang menang tidak menang semua dan yang kalah pun takkan hilang semua. Mereka masih ada peranan masing-masing dalam memastikan survival Bersatu.
"Semua pemimpin yang terpilih termasuk saya sendiri perlu mencari pendekatan yang sesuai untuk memperkukuhkan lagi parti, menambahkan ahli dan sebagainya,” katanya.