JITRA - Kerajaan negeri bersetuju cadangan waktu operasi hari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dilanjutkan.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya menerima lanjutan tempoh operasi daripada 18 jam kepada 24 jam bermula April selama tiga bulan untuk tempoh percubaan itu.
Beliau berkata, langkah melanjutkan waktu operasi 24 jam berkenaan akan membantu dan memberi kemudahan pihak terbabit dalam sektor perdagangan.
"Sebelum ini, pintu sempadan berkenaan telah dibuka 18 jam, dan sekarang waktu operasi ditambah kepada 24 jam, yang bermakna ia akan beroperasi waktu malam.
"Pada waktu malam ini, mungkin agak terhad peluang perniagaan boleh disediakan untuk kemasukan warga asing seperti Thailand," katanya dalam sidang media selepas Program Sayangi Taman Eko Rimba Bukit Wang, di sini, semalam.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad.
Bagaimanapun, katanya, beliau melihat lanjutan tempoh berkenaan adalah lebih kepada perdagangan.
Katanya, pada waktu ini, pihaknya mendapati kesan pembukaan kepada ekonomi agak terhad, bagaimanapun Kedah bersetuju bahawa pintu sempadan dibuka selama 24 jam.
"Dalam usaha menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pelabuhan dalaman, jadi perkhidmatan logistik itulah akan dibangunkan bermula dengan depoh trak dengan peruntukan kira-kira RM25 juta dari Kementerian Kewangan. Harapan kita, zon Bukit Kayu Hitam menjadi hub logistik," katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, Taman Eko Rimba Bukit Wang yang dibuka semula dilihat mampu menjadi salah satu tarikan Kubang Pasu.
Kata beliau, Bukit Wang dilihat berpotensi menarik lebih ramai pelancong tempatan, sekaligus menjana pendapatan dan ekonomi masyarakat setempat.
Mukhriz berkata, orang ramai diingatkan menjaga kebersihan kawasan rekreasi seumpama itu dari sampah sarap demi mengelakkan masalah kencing tikus.
"Untuk menyelenggara kawasan hutan memerlukan kos tertentu, jadi saya harap pengunjung dapat membuat bayaran sedikit, yang mana ia bukanlah untuk keuntungan tetapi untuk kebersihan bilik air dan lain-lain," katanya.