Suhakam bimbang RUU IPCC tidak menyeluruh

Iklan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan terhadap Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang dibentangkan baru-baru ini.

Perkara itu dibimbangi kerana ia tidak merangkumi intipati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2005.

Iklan
Iklan

Suhakam dalam satu kenyataannya di sini hari ini mengakui amat bimbang dengan kurangnya kebebasan dan kelemahan fungsi IPCC kerana ia tidak diberikan kuasa tatatertib bagi menangani salah laku polis.

Menurutnya, Setiausaha IPCC akan dilantik oleh Menteri Dalam Negeri manakala pegawai-pegawai IPCC juga dilantik secara pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan untuk menjadi pegawai penyiasat.

Iklan

"Penurunan kuasa IPCC kepada mana-mana anggota pasukan polis boleh membawa kepada isu konflik kepentingan dari aspek fungsi yang dinyatakan di dalam RUU serta kebebasan IPCC.

"Sebelum ini, pelbagai pihak berkepentingan termasuk Suhakam dan organisasi masyarakat sivil telah mengemukakan banyak syor-syor kepada kerajaan dengan harapan untuk meningkatkan akauntabiliti pasukan polis dan mempromosi tadbir urus yang baik di negara ini. Walau bagaimanapun, ini tidak direalisasikan di dalam RUU IPCC," kata kenyataan itu.

Iklan

Justeru, Suhakam menegaskan seruannya untuk penubuhan badan bebas bagi meningkatkan akauntabiliti pasukan polis dan menyediakan sistem semak dan imbang sebagai mekanisme pengawasan.

"Memandangkan RUU ini akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini, Suhakam berharap agar ahli Parlimen akan meneliti dan menambah baik RUU ini agar harapan rakyat untuk penubuhan badan bebas bagi meningkatkan akauntabiliti polis tercapai,” jelas kenyataan itu.