KUALA LUMPUR - Seorang bekas ahli jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kondominium di Sentul mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan yuran penyelenggaraan bangunan berjumlah RM295,391.27.
Wong Yeng Ping, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia, Tawfiq Affandy Chin dan Fardiana Haryanti Ahmad Razali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyalah gunakan wang hasil kutipan yuran penyelenggaraan milik penduduk Vista Mutiara Apartment.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Vista Mutiara 1 Management Corporation, Off Jalan Kepong, Sentul pada 1 Disember 2019 hingga 16 Jun lalu.
Bagi kesemua pertuduhan, wanita itu didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, Nurilya Ellyna Nor Azma dan Abdul Khaliq Nazeri mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM74,000 bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh merayu agar kadar ikat jamin anak guamnya diberi pada kadar yang minima.
"Bagi pengetahuan pihak mahkamah, suami tertuduh mengalami lumpuh akibat strok,” katanya.
Mahkamah menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM41,000 menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes.