KOTA TINGGI - Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 80 Johor Bahru-Mersing dekat sini hari ini.
Kemalangan pada jam 11.50 pagi itu mengorbankan pemandu kereta perodua Myvi, Yap Hui Poh, 25, manakala pemandu MPV Toyota Wish, Muhammad Faizal Mustakim, 41, serta penumpangnya, Mustakim Darus, 73 dan Siti Balkessah Mokhtar, 40, cedera.
Turut tercedera Harraz Muhammad Faizal, 7, Nur Hilman Harith Muhammad Faizal, 7, Nur Aina Khalishah Muhammad Faizal, 12, Aliyah Sufrina Mohd Reza, 7, dan Muhammad Adam Malik Edy, 5, mereka semuanya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Myvi dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru telah terbabas.
"Semasa tiba di tempat kejadian di Kilometer 45.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, mangsa dipercayai memotong sebuah kereta melalui bahagian kiri lorong jalan dan telah hilang kawalan.
"Kereta mangsa terbabas ke jalan bertentangan dan dilanggar MPV Toyota Wish di bahagian hadapan kiri kenderaan Perodua Myvi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kemalangan tersebut mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan remuk pada bahagian depan terutama Perodua Myvi.
Hussin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar.
"Orang awam dinasihati supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama," katanya.