SUNGAI BULOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya tinggal nama atau tidak, bergantung kepada siapa nakhodanya, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya yang mengatakan Bersatu tidak akan bertahan lama serta hanya akan tinggal nama kerana tindakan pemimpinnya menganiaya pengasas parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rosol berkata, isu menganiayai juga tidak timbul tambah lagi Dr Mahathir bukan dipecat tetapi beliau dengan rela hati mengundur diri kerana beberapa tindakan yang dibuat bersama penyokongnya.
"Lagipun saya dimaklumkan, parti Bersatu ini dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana ia dirancang di rumahnya dan bukan oleh Dr Mahathir.
"Malah dengan barisan kepemimpinan Bersatu yang baharu ini, saya yakin parti ini tidak akan berumur sependek seperti didakwa," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@The Store 2020 di Market Place by The Store, SB Mall di sini hari ini.
Menurutnya, perjuangan parti bergantung kepada apa hala tuju serta tunjang parti dan jika ia berlandaskan agama, bangsa, tanah air dan semua ahli parti juga berpegang kepada prinsip sama, maka Bersatu tidak akan mati.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bersatu tidak akan bertahan lama kerana aniaya Dr Mahathir'
Terdahulu, Marzuki menerusi temubual Sinar Live bertajuk Pejuang Hanya Gah Pada Nama? mendakwa Bersatu merupakan parti muda yang sangat rapuh, malah dilihat tidak akan bertahan lama.
"Malah perbuatan pemimpinnya menganiayai pengasasnya sendiri (Dr Mahathir) akan menyebabkan Bersatu hanya tinggal nama," katanya.
Dalam pada itu ketika mengulas berhubung dakwaan mengatakan Bersatu sudah tersasar dari landasan sehingga sanggup membuka parti yang sebelum ini berteraskan kemelayuan kepada orang bukan Melayu, Rosol menafikan perkara itu.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, Bersatu tidak tersasar dan apa yang dilakukan adalah untuk memastikan parti tersebut kekal relevan.
"Dulu nak buka kepada kaum lain mungkin ia tak sesuai, tak relevan tetapi sekarang dengan penduduk berbilang bangsa, negara makin maju, tempat pilihan raya juga bukan lagi bergantung kepada parti tapi siapa calon atau wakil rakyat.
"Jadi kita kena berubah mengikut zaman untuk kekal relevan," katanya.