RAWANG - Seorang pengurus bank cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan tanpa sengaja oleh pengawal keselamatan bank berkenaan dalam kejadian di Bandar Baru Rawang hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 1. 20 petang.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sewaktu pengawal keselamatan berumur 26 tahun tersebut baharu saja keluar dari tandas bank berkenaan.
"Tembakan tersebut terkena pada lengan kanan mangsa berusia 57 tahun yang ketika itu sedang bekerja.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek bekerja di bank berkenaan sejak Januari tahun lepas dan memiliki lesen Carry & Use senjata api.
"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960," katanya.