SISTEM Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang dilancarkan Mac lalu tetap berjalan seperti biasa dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mempunyai senarai nama pengadil yang akan menjadi perintis untuk projek tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, senarai akhir pengadil yang terpilih dijangka diumumkan pada tahun depan.
"Akibat pandemik Covid-19 yang melanda, pergerakan kita agak terbatas. Namun projek pengadil profesional itu tetap diteruskan dan kita laksanakan secara atas talian. Kita juga telah menemuduga pengadil dan sudah ada senarai akhir.
"Kalau ikutkan jika tiada pandemik Covid-19 kita rancang untuk umumkan pada Julai. Tetapi, apabila pandemik ini terjadi, kita sudah berbincang dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan umumkan senarai nama itu tahun depan,” katanya dalam sidang media selepas majlis Penyerahan Jersi Baharu Pengadil Liga-M di Wisma FAM.
Sebelum ini, FAM melancarkan MProRS dengan misi menjadikan pengadil tempatan sebagai penanda aras pengadilan di peringkat Asia.
Seramai enam pengadil kebangsaan disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada MProRS dan hanya dua terbaik ditawarkan kontrak pengadil profesional berdasarkan prestasi ditampilkan sepanjang empat bulan pertama saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.
Dalam pada itu, mengulas mengenai jersi baharu pengadil tersebut, Md Dali berkata ia akan memberikan semangat baharu kepada pengadil dalam mengadili baki tujuh lagi perlawanan liga musim ini dan juga aksi TM Piala Malaysia.
"Sejak Kronos menjadi penaja rasmi pakaian pengadil Liga-M bermula musim 2019, kita dapat lihat yang jersi pengadil warnanya adalah hitam, kelabu. Turquoise dan ungu.
"Jadi, apabila rekaan terbaharu jersi berwarna oren kebarangkalian bertembung warna dengan jersi pasukan bertanding sangat rendah.
"Jersi baharu, semangat pun perlu baharu. Diharap para pengadil kita dapat kembali turun bertugas selepas lima bulan ‘berehat’ dengan semangat dan motivasi lebih tinggi,” katanya.