Dollah resah tanpa tonggak utama berdepan JDT

Iklan
Pahang akan berdepan juara Liga Super enam kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada malam esok.

PAHANG yang akan turun tanpa tonggak utama berdepan juara Liga Super enam kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT), membuatkan ketua jurulatihnya Dollah Salleh, resah.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pihaknya berdepan cabaran sengit untuk menghadapi perlawanan pertama apabila bertemu skuad Harimau Selatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada malam esok, selepas lima bulan tanpa aksi susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Hampir semua pemain import saya baru pulih daripada kecederaan seperti Herold Goulon, Dickson Nwakaeme, dan Ivan Carlos. Skuad yang saya ada sekarang belum bersedia sepenuhnya kerana jika dilihat pada beberapa perlawanan persahabatan, saya cukup resah perhatikan tahap kecergasan pemain-pemain utama, terutamanya apabila perlu bertemu JDT.

"Malah dalam beberapa perlawanan persahabatan lalu, saya banyak menguji pemain daripada skuad Piala Presiden, kerana mahu menguji semua pemain yang kami ada dan semuanya baru di peringkat membina persefahaman,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Iklan

Pengendali berusia 56 tahun itu bagaimanapun menegaskan, skuad Tok Gajah akan tetap bersemangat dan memastikan persediaan berada di tahap terbaik menjelang aksi itu.

Pada Sabtu ini, juga bakal menyaksikan pertembungan antara Selangor yang menerima kunjungan Petaling Jaya City di Stadium UiTM Shah Alam, serta pasukan di tangga ketiga liga, Terengganu FC akan bertemu Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Iklan

Dua lagi perlawanan yang tidak kurang menariknya ialah Felda United bertemu UiTM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok, serta PDRM yang masih dalam misi melakar kemenangan sulung liga, akan berdepan Kedah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu.

JDT kini di takhta Liga Super dengan 10 mata, diekori rapat juara Piala Malaysia 2018 Perak dengan perbezaan dua mata sementara Terengganu FC di kedudukan ketiga dengan tujuh mata manakala Pahang di tempat keempat setelah mengumpul enam mata. - Bernama