IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas sembilan komputer selepas disyaki menggunakan perisian palsu hasil operasi di empat premis sejak Selasa lalu lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, syarikat di sekitar Ipoh itu didapati telah melanggar etika perniagaan dan Undang- undang sedia ada dibawah Akta Hakcipta 1987.
"Operasi dilakukan pada 22 hingga 24 Januari berdasarkan aduan daripada Hakcipta bagi Adobe, Autodesk dan Solidworks iaitu Business Software Alliance (BSA).
"Daripada empat premis yang diperiksa, tiga daripadanya disyaki menggunakan perisian langgaran yang tidak tulen, kesemua komputer dianggarkan bernilai RM30,000 itu disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, ketiga tiga syarikat berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(i) akta yang sama.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 10 kes sama dilaporkan melibatkan rampasan bernilai RM167,000.
Manakala tahun ini, empat kes dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM31,566.00.
"Selain menjaga hak pengguna, KPDNHEP turut memandang serius dalam melindungi hak-hak pemilik Hakcipta melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis perniagaan, sekali gus meningkatkan kepercayaan pelabur asing terutamanya di Perak,” katanya.