Pegawai bomba kayuh basikal keliling Semenanjung

Iklan
Mohd Fakhrul bergambar bersama pegawai dan anggota BBP Sungai Besar di sini semasa ketibaannya semalam.

SUNGAI BESAR - Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dijangka dapat menghabiskan kayuhan mengelilingi Semenanjung Malaysia hingga ke Putrajaya atau sejauh 2, 450 kilometer (km) pada 31 Ogos ini.

Mohd Fakhrul berkata, ketika ini, dia sudah membuat kayuhan kira-kira 2, 253 kilometer dan singgah hampir 90 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan purata kayuhan setiap hari antara 100 hingga 150km.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Fakhrul, hari ini dia akan meneruskan kayuhan dan singgah di lima BBP di Selangor.

"Hari ini saya akan memulakan kayuhan dari BBP Sungai Besar menuju ke BBP Sekinchan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Kapar dan seterusnya ke BBP Bukit Jelutong, Shah Alam," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohd Fakhrul memberitahu, ketibaannya di BBP Bukit Jelutong dijangka disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kira-kira jam 4.30 petang.

Mohd Fakhrul yang berasal dari Sik, Kedah berkata, dia berdepan beberapa cabaran semasa mengayuh dari Pantai Remis, Perak menuju ke Sabak Bernam semalam.

Iklan

"Antara kesukaran dialami tentunya disebabkan faktor cuaca panas, selain laluan berliku dan angin laut.

"Namun, kesukaran ini dibantu pasukan pengiring ketika saya melakukan kayuhan selain pengalaman menyertai ekspedisi mendaki gunung termasuk di luar negara," katanya lagi.

Menurut Mohd Fakhrul yang bertugas sejak 15 tahun lalu, misi kayuhan itu dilakukan bagi mengumpul dana Tabung Kebajikan Anggota Bomba untuk keperluan keluarga dan anggota bomba yang memerlukan.

"Idea ini tercetus untuk membantu anggota bomba memerlukan dan saya harap usaha ini bukan sahaja membantu, malah menjiwai semangat merdeka dalam kalangan pejuang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

"Biar pun berasa penat mengayuh, tetapi pengorbanan mereka yang berjuang menentang penjajah lebih besar ertinya dalam memerdekakan tanah air tercinta," katanya.