PUTRAJAYA - Pusat beli-belah Alamanda Putrajaya (Alamanda) melancarkan Kempen Hari Merdeka selama tiga minggu sehingga 16 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan, Alamanda mengumpul dana sebanyak RM10,000 untuk membeli makanan ringan yang akan disumbangkan kepada kakitangan dan barisan hadapan di sebuah hospital di Putrajaya.
Menurutnya, dana tersebut dikumpul ketika pengunjung menebus cenderahati baju-t Merdeka edisi terhad selain semasa proses undian peserta peraduan seni ‘VIKids’ yang dianjurkan baru-baru ini.
"Bagi mendapatkan baju-t eksklusif tersebut, pembeli hanya perlu menunjukkan bukti pembelian sekurang-kurangnya RM500 terkumpul melalui tiga resit di kedai terpilih Alamanda bermula dari 24 Ogos sehingga 16 September ini.
"Tebusan hanya sah dilakukan pada hari pembelian sementara stok masih ada,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, setiap pembeli yang menebus baju-t juga digalakkan mengundi pemenang bagi peraduan seni ‘VIKids’ dan melalui setiap undian dibuat, pihak Alamanda akan menyumbang RM10 kepada dana sumbangan kakitangan dan barisan hadapan perubatan.
Jelasnya, setiap pembeli yang mengundi diberi peluang untuk menandatangani kad ucapan terima kasih yang akan diberikan bersama sumbangan makanan ringan itu nanti.
Katanya, pelanggan Alamanda juga berpeluang menyaksikan dekorasi meriah dan berwarna-warni bertemakan Hari Kemerdekaan sepanjang tempoh kempen.
"’Backdrop’ bersaiz besar disediakan untuk pengunjung mengambil gambar selain pelbagai hasil karya seni bercorakkan semangat cintakan negara antara daya tarikan yang bakal menghiasi suasana patriotisme di Alamanda," katanya.
Beliau berkata, Alamanda juga akan mengedarkan 1,000 bungkus nasi lemak pada tanggal 31 Ogos dan 16 September ini kepada pembeli yang menggayakan baju-t Merdeka eksklusif edisi terhad Alamanda.