VIVO Malaysia meraikan Hari Merdeka dengan menerbitkan filem pendek 'Kita' yang penggambarannya dirakam sepenuhnya menggunakan telefon pintar X50 Pro.
X50 Pro memberi kualiti yang luar biasa dengan fungsi yang canggih seperti Extreme Night Vision (Super Night Mode), 60 kali Hyper Zoom, Professional Portrait, Super Wide Angle, Super Macro Functions dan lain-lain.
Kelebihan tersebut dapat dilihat menerusi penghasilan filem berdurasi sembilan minit itu yang diarahkan oleh pengarah terkenal Netflix Malaysia, Ho Yuhong dan tayangan perdananya dipertontonkan kepada umum hari ini (Khamis) di GSC One Utama.
Kita berkisar mengenai kepelbagaian budaya di Malaysia yang memaparkan kisah sebenar persahabatan empat pelajar dari budaya dan bangsa yang berbeza.
Yohang berkata, penggambaran menggunakan telefon X50 Pro merupakan pengalaman baharu buatnya sepanjang menceburi bidang pengarahan.
"Setiap babak dilakukan penuh hati-hati dan mengambil sedikit masa untuk mempelajari aplikasi yang terdapat pada peranti tersebut dalam penghasilan karya terbaik dan berkualiti.
"X50 Pro bagus dari segi zoom effect dan penghasilan gambarnya yang jelas selain berpeluang merasai sendiri pengalaman merakam babak pada waktu malam dengan kualiti yang mengagumkan," katanya sewaktu pratonton filem pendek Kita di GSC One Utama, Petaling Jaya semalam.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia, Mike Xu berkata, filem pendek itu bagi memaparkan inovasi dari teknologi baharu yang terdapat pada X50 Pro dalam memberikan pengalaman fotografi dan videografi serba lengkap.
"Filem ini membuktikan kualiti rakaman menggunakan sistem kamera gimbal dapat memberi pengalaman videografi serba lengkap dengan imej yang jelas ketika bergerak walaupun dirakam pada waktu malam.
" Dengan model gimbal profesional bersaiz penuh, X50 Pro dicipta dengan modul gimbal miniatur yang membolehkan pergerakkan ke arah yang berlawanan dengan gerakan goyang.
" Ini memberikan kestabilan untuk kamera utama di mana ia berfaedah dalam kebanyakan klip yang dirakam dalam filem pendek in," katanya.
Katanya, selain memperkenalkan X50 Pro kepada pengguna, penghasilan karya pendek bertemakan patriotisme itu juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada negara sempena bulan kemerdekaan.
Katanya lagi, kempen bulan kemerdekaan itu juga mendapat kerjasama daripada penyanyi, Shila Amzah yang turut mengambil bahagian menyanyikan lagu tema dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.
Penonton dapat menyaksikan video pendek tersebut di saluran media sosial termasuk Facebook, Youtube dan lain-lain bermula semalam.