Suami didakwa pukul isteri dengan besi

Iklan
Azlan didakwa memukul isterinya dengan batang besi hingga cedera parah, lapan tahun lalu.

MELAKA TENGAH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dengan batang besi hingga cedera parah lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Azlan Ramli, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Hasnah Jantan, yang ketika itu berusia 32, dengan cara memukul mangsa menggunakan sebatang besi di sebuah rumah di Banda Hilir pada jam 9 malam, 16 Disember 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dua daripada hukuman itu.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan jaminan sebaliknya memohon satu tarikh sebutan baru.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 September ini sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Iklan