Konvoi motosikal, basikal lebih 20 peserta perlu maklum polis

Iklan
Abdullah (kanan) dan Hafiz (dua dari kanan) beramah mesra bersama peserta Konvoi Ride Merdeka Kelantan 2020 sebelum pelepasan hari ini.

KOTA BHARU - Kumpulan konvoi bermotosikal dan berbasikal yang melebihi 20 peserta sempena sambutan kemerdekaan kali ini dinasihatkan memaklumkan perjalanan mereka kepada polis bagi memudahkan mengawal lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan pergerakan konvoi lancar dan keselamatan pengguna jalan raya lain terjamin.

Iklan
Iklan

"Peserta konvoi dan pengguna jalan raya masing-masing perlu jaga keselamatan terutamanya pada musim perayaan dan sebagainya. Dua-dua kena patuhi undang-undang jalan raya.

"Bagaimanapun, kita nasihatkan kalau konvoi tersebut lebih daripada 20 orang, maka lebih baik maklumkan kepada kami supaya kita boleh bantu kawalan di simpang-simpang jalan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Konvoi Ride Merdeka Kelantan 2020 di Dataran Masjid Muhammadi di sini hari ini.

Iklan

Majlis dirasmikan Exco Belia, Sukan, NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payung, Dr Ramli Mamat dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin.

Abdullah turut menasihatkan pengayuh basikal agar mementingkan keselamatan terutamanya apabila melakukan aktiviti pada waktu malam.

Iklan

"Kayuhan basikal ini ada juga di waktu malam, jadi saya nasihatkan mereka pakai pakaian bersesuaian yang memantul cahaya.

"Jangan kayuh bergandingan, ikut jarak konvoi yang sepatutnya dan berhati-hati semasa di simpang," katanya.

Mengulas mengenai Konvoi Ride Merdeka Kelantan 2020, Abdullah berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh sepanjang misi Konvoi Ride Merdeka Kelantan kali ini dan berharap semua peserta dapat mematuhi undang-undang jalan raya.

"Kita juga sediakan dua pengiring sepanjang jalan bagi memastikan konvoi berjalan lancar di setiap negeri yang mereka singgah.

"Walaupun konvoi, jangan lupa untuk menjaga penjarakan fizikal dan terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kita semua patuhi," katanya.

Konvoi melibatkan 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Kelantan Bikers itu akan memulakan misi kembara merdeka hari ini dan singgah ke beberapa buah negeri sebelum berpatah balik ke Kota Bharu pada 31 Ogos ini.