Tidak wujud agenda, itu kerja pembangkang

Iklan
Hasnul Zulkarnain (duduk, tengah), pada sidang media berkenaan.

IPOH - Pemuda PH Perak menegaskan tidak wujud sebarang agenda bagi membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagaimana yang hangat diperkatakan hari ini.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata berkata, perkara berkenaan polemik politik yang ditimbulkan pembangkang dengan tujuan untuk mewujudkan rasa tidak selesa atau kurang senang dalam kalangan rakyat.

Malah menurutnya, perkara berkenaan dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan isu melibatkan Presiden Umno serta pemimpin tertinggi parti berkenaan yang sedang berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

"Setiap kali Sidang Dun pasti isu ini berbangkit. Kalau benar nyatakan secara berdepan siapakah Exconya, kita nak tengok keberanian mereka.

"Bagaimanapun, kami tetap berikan tumpuan kepada agenda dan tumpuannya adalah kepada pembentangan belanjawan PH Perak 2019," katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How, Ketua Pemuda Sosialis (Dapsy), Steven Chow, Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifky dan Ketua Armada Bersatu, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian bagi mengulas kenyataan ketua pembangkang negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad sempena perhimpunan Umno Negeri di Sungai Siput semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun BN dipujuk singkir MB Perak]

Pada perhimpunan berkenaan, Saarani mengatakan adanya cubaan daripada Exco-Exco kerajaan negeri menghubungi Adun-Adun pembangkang untuk berpakat membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain menyifatkan insiden 'rompakan kerajaan negeri' sebagaimana yang berlaku pada 2009 lalu, tidak akan berulang kerana kerajaan negeri Perak hari ini mendapat sokongan daripada rakyat.

Malah katanya, PH Perak turut menjunjung kedaulatan Dewan Negeri terutamanya apabila Sultan Perak berkenan mencemar duli dengan melantik Menteri Besar termasuk perlantikan Exco Kerajaan Negeri.

"Ia (rompakan) takkan akan berlaku lagi dan kita sedang bergerak kepada pembentangan belanjawan PH Perak 2019," katanya.

Iklan
Iklan