MELAKA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperuntukkan RM67 juta untuk menggantikan 425 unit kenderaan peronda (MPV) baharu melibatkan model Honda Civic 1.8S dan Proton X70 secara berperingkat sehingga pertengahan September depan.
Pengarah Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, 250 unit merupakan Honda Civic, manakala 175 unit adalah Proton X70 yang akan diguna dalam tugasan rondaan bagi menggantikan MPV lama model Proton Waja yang sudah melebihi had penggunaan lapan tahun.
Katanya, PDRM kini dalam peringkat pembuktian konsep (POC) bagi memastikan Proton X70 sesuai digunakan untuk penugasan kepolisan melibatkan pelbagai aspek termasuk pemanduan defensif.
"Sekarang ini, pihak teknikal di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman sedang membuat pemeriksaan bagi setiap kenderaan yang diterima sebelum diserahkan kepada semua kontinjen secara berperingkat.
"Pada setiap kenderaan itu, kita tidak mahu ada perkara yang tidak memenuhi atau tidak mematuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan JPJKK untuk membuat tugas rondaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MPV di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 14 MPV Honda Civic diserahkan kepada IPK Melaka dan majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata MPV baharu yang diterima secara sewaan melalui konsesi dengan Syarikat Spanco Sdn Bhd itu dilengkapi peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih serta ciri khas termasuk mempunyai kod kenderaan sendiri.
Beliau berkata, kenderaan itu juga akan dilengkapi jaket kalis peluru untuk kegunaan anggota sekiranya berhadapan insiden melibatkan senjata api.
Sementara itu, katanya PDRM juga dalam usaha memperoleh 1,000 unit senjata tidak bawa maut atau 'non-lethal weapon' bagi kegunaan pegawai dan anggota khususnya untuk mengendalikan insiden orang agresif atau mengamuk.- Bernama