Pekebun durian dapat perintah penggantungan sementara

Iklan
Pekebun durian musang king Raub berjaya mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar daerah Raub di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.
KUANTAN - Seramai 111 pekebun durian musang king di Raub mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar daerah Raub.

Peguam, Siew Choon Jern yang mewakili semua pekebun terbabit berkata, keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan tersebut.

Menurutnya, mahkamah tiada bantahan dan membenarkan penggantungan notis yang dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan dijadualkan pada 28 Oktober depan.

Iklan
Iklan

"Pekebun durian kini selamat untuk menjalankan kerja harian mereka di atas tanah yang diterokai selepas mendapat perintah ini.

"Sebelum ini, mereka (pekebun durian) tidak berani memasuki dusun durian selepas mendapat notis supaya mengosongkan tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang," katanya kepada pemberita selepas tamat prosiding permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan kebun dan pajakan tanah durian di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini semalam.

Iklan

Pada Jumaat lalu, Chan Yoke Kong, 50, bersama 110 pekebun lain memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung tindakan kerajaan negeri mengarahkan mereka mengosongkan tanah baru-baru ini.

Kesemua 111 pekebun durian musang king Raub berharap ada rundingan daripada pihak berkaitan terhadap isu pengosongan tanah yang diterokai mereka secara menang-menang.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuantan oleh Choon Jern dan telah menamakan enam responden.

Iklan

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, Perbadanan Pertanian Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Dalam pada itu, Choon Jern berkata, pekebun bersedia untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah itu.

"Jika ditawarkan situasi menang-menang, saya percaya mereka (pekebun) juga sudi berbincang tetapi tertekan kerana notis itu terlalu pantas iaitu perlu mengosongkan tanah dalam 30 hari.

"Mereka telah lama mengusahakan tanah itu. Ada (pekebun) yang mula (mengusahakan dusun durian) sejak tahun 1961. Mereka hanya mahukan keputusan yang adil.

"Sebelum ini mereka pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah secara sah tetapi telah ditolak dengan alasan hutan simpan," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas menangani kegiatan pengusaha dusun durian haram di Raub sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terlibat ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.