SEREMBAN - Selepas 14 bulan terlantar sakit akibat tragedi dihempap peti sejuk, Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari, 6, meninggal dunia jam 4.30 petang tadi.
Bapanya, Mohd Bukhari Zainal Annuar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah hotel di Melaka ketika sedang menjalani rawatan saraf.
"Saya dan isteri membawa Muhammad Fawwaz ke sana sebagai ikhtiar rawatan untuk kesembuhannya.
"Tapi ALLAH lebih sayangkannya dan dia meninggal dunia di samping saya dan isteri,” katanya.
Menurutnya, jenazah dibawa pulang ke rumah mentuanya di Kampung Gedung Lalang Ampangan dan dijangka dikebumikan jam 8 pagi esok.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian menimpa kanak-kanak itu pada 13 Julai 2019 dan tragedi itu mendapat perhatian netizen yang turut bersimpati.
Sinar Harian beberapa kali melaporkan perkembangan keadaan kesihatan Muhammad Fawwaz dan keluarganya tidak pernah berhenti berusaha mendapatkan pelbagai jenis rawatan dengan harapan kanak-kanak itu pulih.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak lelaki lima tahun parah dihempap peti sejuk